Jika kamu pencinta haiwan, terutamanya kucing, atau mempunyai empati terhadap haiwan, pasti kamu tahu betapa sedihnya apabila melihat haiwan kesayangan diperlakukan sebegitu.
Baru-baru ini tular sebuah video yang menunjukkan seekor kucing yang menjadi mangsa keganasan manusia tanpa sebab. Video tersebut telah dimuat naik oleh pemilik kucing yang mesra disapa sebagai Kak Yong di Facebook.

Dalam hantarannya itu, Kak Yong menunjukkan keadaan kucingnya, yang diberi nama Manis’, berada dalam keadaan nazak selepas dipukul serta disumbat ke dalam longkang di kawasan perumahannya.
Pelaku tersebut merupakan salah seorang jiran Kak Yong sendiri. Semasa kejadian, Kak Yong yang sedang bersiap untuk bekerja telah tersedar kehilangan kucing indoornya itu.
“Harini aku buka tingkap dan aku lupa dia tak masuk sangkar lagi. Rupanya dia dah keluar. Masa nak pergi kerja baru perasan dia takde dalam rumah.”
Ketika panik mencari Manis di sekitar rumahnya, Kak Yong mendakwa dia ternampak pelaku sedang memukul sesuatu dan cuba menyumbat ia jauh ke dalam longkang sebelum beredar.
Bimbang ‘sesuatu’ itu adalah Manis, dia segera memeriksa longkang tersebut. Luluh hatinya apabila melihat ia adalah kucing kesayangannya yang lemah longlai selepas dipukul teruk.
Meraung melihat keadaan Manis, Kak Yong berteriak kepada pelaku sambil menghamburkan kemarahannya dan pelaku pula menafikan tindakannya itu.
Kini Manis telah dibawa ke klinik haiwan dan diberi rawatan selanjutnya. Manakla pelaku telah ditangkap oleh pihak polis sekitar jam 12.20 malam semalam (14/5/2025).
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.