Baru-baru ini, tular sebuah video di TikTok oleh pengguna @leena.scha yang memaparkan kekecewaan seorang ibu terhadap makanan yang dijual kepada anaknya di kantin sekolah. Video tersebut menunjukkan sebiji burger yang dibeli hanya mengandungi roti lembik, sedikit sos dan seketul nugget kecil sebagai isi. Harga burger tersebut dijual pada RM3, yang dianggap tidak berpatutan oleh ramai pihak.
@leena.schaAlahai.. fenin lah isu kantin sekolah ni.. sana sini memekak pasai isu kantin ni.. tapi tu lah hakak pun salah sorang jugak.. sebab penah hadap depan mata.. kemonnnn !!! Parents da pakat report sana sini… too much lah! Kesian anak2 kat sekolah nak makan. Tak semua orang mampu kot kan.. tp jangan buat anak2 camtu.. rm3 buger size mini tu kot!!! .. daging tu nugget camtu .. amender lah hah .. beli tepi jalan pun dapat full ! Ehh i kenot brain lah.. mula la kan..rm3 besa lah mat standard size!! Banyak betul komplen kantin ni da.. sampai harini .. ke sini lah jawabnya..x silap bulan lepas ada isu apa kantin kena tutup smntara. Isu makanan jangan cakap lah mmg penat dah komplen mak pak… n harini datang video ni kt group parents sekolah.. so hakak pun ada anak2 kat sini.. sekolah mmg ok sangat d best.. tapi pngurusan kantin ni .. tak tau lah apa masalahnya dah ni.. harap pohak yang btgjwb tolong jenguk2 n bantu2 sikit apa yang patut! Kesian kat anak2 .. tak semua orang mampu .. tu je nak bgtahu! Ada mak ayah keje harap ank2 dpt makan kt sekolah bbaik.. tapi kalau macam ni sedihlah.. sian budak2 bukan tau apa ..
♬ original sound – LeeNa ScHa – LeeNa ScHa
Reaksi Netizen dan Ibu Bapa
Perkongsian video tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap harga makanan di kantin sekolah, khususnya apabila ia tidak sepadan dengan kualiti yang ditawarkan. Ada juga yang berkongsi pengalaman serupa di sekolah lain, di mana makanan yang dijual terlalu mahal sedangkan murid-murid masih kecil dan belum mampu bersuara.
Seorang pengguna yang juga guru memaklumkan bahawa guru-guru sendiri tidak mempunyai kuasa penuh untuk menegur pihak kantin secara langsung kerana ia diuruskan oleh kontraktor luar.
“Kitorang cikgu pun kadang takde kuasa. Penat nak complain setiap masa tetapi tetap takde tindakan. Bukan setakat makanan budak, makanan cikgu pun tak terjaga kualiti.”
“Roti bun – 1.00, nugget – 0.80, sos & mayo – 0.20, box – 0.50, untung – 0.50 aku beli nasi goreng biasa sesenduk + telur mata dlm plastik mcm dulu2 pon da 3.00”
“Bang saya niaga kantin sekolah jugak…ade jual burge tpi rm2 jee daging sekeping roti siap bakar lagi…ni kalau kantin saya viral ni risau mak ayah hantar anak sekolah kt tempat saya je”
Pihak Berkuasa Diminta Bertindak
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sebelum ini menyatakan bahawa pengusaha kantin sekolah yang mahu menaikkan harga jualan makanan perlu berbincang dengan pihak sekolah serta wakil Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) bagi mendapatkan persetujuan. Pengusaha kantin tidak boleh menaikkan harga jualan sesuka hati tanpa persetujuan pihak berkaitan .
Isu harga makanan di kantin sekolah bukan perkara baharu, namun ia semakin membimbangkan apabila melibatkan pelajar yang bergantung sepenuhnya kepada makanan di sekolah untuk keperluan harian. Harus ada ketelusan, kawal selia dan keprihatinan terhadap kebajikan pelajar, agar tiada lagi yang ‘dianiaya’ dengan burger kosong berharga RM3.
Apa pendapat anda? Pernah anak anda alami perkara sama? Kongsikan di ruangan komen.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.