Baru-baru ni timbul dakwaan kononnya penstrukturan semula antara Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) akan membuka ruang untuk salah guna duit zakat. Namun Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar tampil beri penjelasan dan katanya tuduhan itu langsung tak berasas.
Menurut Dr Na’im, penggabungan kedua-dua institusi ni di bawah satu nama baru, iaitu Kolej Profesional (KP) MAIWP, sebenarnya dibuat untuk optimumkan penggunaan dana zakat, bukan sebaliknya.
“Ada pihak luar tuduh kata gabungan ni akan jadi ruang salah guna duit zakat, tapi sebenarnya tak. Tujuan kita satu je, nak pastikan duit zakat betul-betul bantu anak-anak asnaf berjaya dalam pelajaran dan ubah masa depan keluarga mereka,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, gabungan ini tidak melibatkan sebarang kos tambahan pun. Semua guna balik kemudahan dan sumber sedia ada. Contohnya, pelajar IKB yang dulu tak ada pusat sumber kini boleh guna fasiliti yang ada di KPBKL.
Bukan Keputusan Tergesa-gesa
Dr Na’im juga tekankan, penstrukturan ini bukan dibuat secara sembarangan. Ia hasil kajian mendalam, ikut langkah rasionalisasi kerajaan, dan paling penting diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Gabungan ni bukan saja tak jejaskan kebajikan pelajar, malah kita nak tambah baik. Dari silibus, sijil, sampai kemudahan, semuanya akan dinaik taraf supaya lebih relevan dan kompetitif,” katanya.
Beliau juga memberi peringatan, kalau ada pihak yang mahu bangkang gabungan ni, bermakna mereka juga menolak keputusan kerajaan dan mencabar titah Yang di-Pertuan Agong.
Untuk rekod, KPBKL yang sudah beroperasi lebih 30 tahun tu dah lahirkan lebih 18,000 graduan setakat ini dan sekarang, misi mereka jelas: nak bantu lebih ramai anak asnaf capai kejayaan melalui pendidikan yang berkualiti dan sistematik.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.