Terima kasih kepada Budiey.com atas jemputan eksklusif untuk menyaksikan Final Destination: Bloodlines di pawagam semalam. Satu pengalaman yang sangat dihargai, lebih-lebih lagi bila dapat menonton filem ini lebih awal daripada tayangan umum yang bermula hari ini, 15 Mei 2025, di seluruh pawagam Malaysia.
Bloodlines ialah filem terbaru dalam francais Final Destination yang terkenal dengan konsep ‘kematian yang mengejar’ – dan kali ini, ia hadir dengan pendekatan yang sedikit berbeza. Diarahkan oleh Zach Lipovsky dan Adam B. Stein, dengan skrip ditulis oleh Guy Busick dan Lori Evans Taylor, berdasarkan cerita asal oleh Jon Watts, filem ini memberi nafas baharu kepada siri yang sudah bertahun-tahun menjadi kegemaran ramai.
Apa yang menarik, Bloodlines lebih ringan dari segi ton. Ia tetap mengekalkan elemen seram, tetapi dengan suntikan komedi yang kena pada tempatnya. 20 minit pertama memang padu – penuh ketegangan dan sangat ‘engaging’. Walaupun efek khasnya tidak terlalu ekstrem, ia masih berjaya mewujudkan suasana yang seram dan mendebarkan.
Filem ini juga menyuntik kelainan melalui elemen kekeluargaan dan watak-watak yang mudah didekati. Richard Harmon menyerlah dengan lakonannya – cukup mencuit perhatian dengan gaya yang mengingatkan pada Tom Green (dan ya, dua-duanya berasal dari Kanada!).


Kemunculan terakhir Tony Todd sebagai pakar bedah mayat menjadi momen paling menyentuh, penuh simbolik dan memberi penutup yang cukup puitis buat wataknya dalam siri ini.

Kelemahan Jalan Cerita
Namun, di sinilah datang sedikit kelemahan, jalan ceritanya bergerak terlalu pantas. Penonton hampir tidak diberi ruang untuk menarik nafas sebelum masuk ke babak seram seterusnya. Walaupun ini mengekalkan momentum, ia juga boleh buat penonton rasa sedikit penat kerana tiada momen ‘rehat’ untuk membina semula ketegangan dengan lebih mendalam.
Sebagai bonus untuk peminat lama, ada beberapa ‘easter egg’ dan panggilan balik kepada filem-filem terdahulu. Sedikit nostalgia yang buat kita tersenyum.
Secara keseluruhan, Final Destination: Bloodlines bukan hanya sambungan biasa. Ia filem yang seronok ditonton, tak terlalu berat, penuh gaya baharu dan cukup menghiburkan. Kalau anda peminat siri ini atau sekadar nak layan filem seram yang fun, filem ini memang berbaloi untuk ditonton di pawagam.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.