Menyahut gelombang muzik semasa, penyanyi Halim dan rapper terkenal Kmy Kmo tampil dengan kolaborasi menerusi single terbaru berjudul “Layar Boneka”.
Membawa Mesej Yang Mendalam
Lagu ini bukan sekadar hiburan semata-mata, malah membawa mesej sosial yang mendalam sebagai teguran halus kepada masyarakat.
Seiring dengan matlamat mereka, Halim dan Kmy Kmo menyatakan bahawa karya ini merupakan satu usaha untuk bersuara dan bukan hanya menyanyi.
Kmy Kmo, rapper yang dikenali dengan gaya penyampaian yang penuh isi serta lirik yang bermakna, bergandingan dengan Halim, seorang penyanyi yang lebih selesa mengekspresikan karya secara bebas serta aktif dalam dunia keusahawanan.
Konsep Perjuangan Dalaman

Kolaborasi ini tercetus daripada perkenalan mereka ketika sama-sama terlibat dalam penggambaran program TV Manhajj Mutawiff terbitan syarikat Halim sendiri, di mana Kmy turut menyumbang dalam penciptaan lagu tema program tersebut.
Menurut Halim, beliau memang meminati muzik yang dibawakan oleh Kmy Kmo, terutamanya elemen muzik nusantara dan genre Hip Hop yang digemarinya.
Beliau mengakui bahawa minat terhadap pelbagai genre muzik termasuk Slow Rock, Pop Balada dan Hip Hop mendorongnya untuk meneroka potensi kolaborasi ini.
Layar Boneka membawa konsep perjuangan dalaman, menyeru kepada keberanian, harga diri dan semangat untuk bangkit semula daripada kejatuhan.
Memiliki Suara Yang Unik

Lagu ini juga menyentuh isu fitnah dan penghakiman masyarakat, yang disampaikan melalui lirik penuh makna dan irama moden yang menyentuh emosi.
Rakaman lagu ini disusun secara profesional oleh produser HMstatenine, dengan gabungan muzik pop moden, balada kontemporari dan unsur hip hop Melayu, menjadikan hasil akhirnya sebagai satu pengalaman muzik yang segar dan menyentuh perasaan.
Kmy Kmo turut mengakui keunikan suara Halim yang sesuai untuk genre Rock Melayu, selain memuji sahabat duetnya sebagai individu yang berbudi pekerti dan gigih belajar perkara baharu.
Mereka berharap kolaborasi ini mampu menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat serta diterima oleh pelbagai lapisan pendengar.
Single “Layar Boneka” kini boleh didapati melalui semua platform digital dengan edaran oleh Luncai Emas, termasuk video muzik rasmi yang boleh ditonton di saluran YouTube mereka.
Lagu ini merupakan satu permulaan yang kuat bagi Halim dan Kmy Kmo dalam membawa muzik hip hop Melayu ke tahap yang lebih tinggi dengan mesej bermakna.