Hafidz Roshdi Luah Rindu Pilu, Dua Tahun Tidak Bertemu Anak

4 hours ago 5

Pelakon Hafidz Roshdi tidak mampu menyembunyikan rasa rindu yang menyesakkan dada apabila meluahkan kerinduan terhadap dua cahaya matanya, Humairah dan Umar, yang kini berada jauh di Australia bersama ibu mereka. Hampir dua tahun terpisah beribu batu, aktor berusia 31 tahun itu menitipkan ucapan sempena ulang tahun kelahiran anak-anaknya melalui hantaran di InstaStory.

“Salam Humairah dan Umar, ni abah. Abah rindu sangat dan berharap kita dapat jumpa satu hari nanti. Selamat hari lahir buat Humairah dan Umar. Harap Humairah baca dan bergembira. Moga baik-baik untuk Humairah dan Umar. Abah sayang kalian,” tulisnya penuh emosi.

Hafidz yang popular menerusi drama Ku Punya Hati turut berkongsi gambar lama bersama dua permata hatinya itu, sambil mendedahkan usia mereka kini genap 8 dan 5 tahun. Coretan tersebut segera menyentuh hati ramai pengikutnya yang turut mendoakan agar dia dipertemukan kembali dengan anak-anaknya.

Untuk rekod, Humairah dan Umar kini tinggal bersama ibu mereka, Nurul Shuhada Mat Shukri, yang berhijrah ke Melbourne hampir dua tahun lalu selepas perceraian dengan Hafidz pada 2023. Shuhada pernah menyatakan hasrat menyambung pengajian di pusat pendidikan di sana, dan membawa kedua-dua anak mereka untuk menetap bersama.

Meski Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada April lalu memberi keputusan interim yang memihak kepadanya berhubung hak lawatan, difahamkan Hafidz masih belum berpeluang bertemu anak-anaknya. Justeru, dia kini menuntut hak penjagaan penuh terhadap Humairah dan Umar, dengan keputusan dijadualkan pada 30 September ini.

Hafidz pernah mendirikan rumah tangga dengan Shuhada pada 30 April 2016, namun ikatan itu terlerai selepas tujuh tahun bersama. Pada 5 Disember 2023, dia berkahwin semula dengan teman lamanya, Athira Yuhada, dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak perempuan.

Luahan Hafidz itu jelas menggambarkan rasa pilu seorang ayah yang merindui anak-anak yang jauh di mata, namun tetap dekat di hati, sementara perbicaraan hak penjagaan bakal menjadi penentu masa depan hubungan mereka.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |