Amira Othman Diraikan Dengan Tema ‘Bachelorette’ Usrah, Persiap Diri Jadi Isteri Solehah Fattah Amin

3 hours ago 5

Penyanyi Amira Othman semakin menghitung hari menuju ke detik bahagia apabila bakal menamatkan zaman bujang pada Ahad ini, namun sebelum itu dia sekali lagi diraikan dalam sebuah majlis ‘bachelorette’ berkonsepkan usrah anjuran rakan-rakan kelas agamanya. Majlis penuh makna itu merupakan cetusan idea pempengaruh Betty Rahmad, adik kepada aktres terkenal Umie Aida, yang sentiasa mengajaknya menghadiri kelas agama sejak sekian lama.

Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 32, meluahkan rasa syukur dan terharu dengan keprihatinan teman-temannya yang mengingatkan tentang bekalan ilmu sebelum bergelar seorang isteri. “Masya-Allah baiknya kawan-kawan saya ini. ‘Mastermind’ Betty, terima kasih selalu ada dan selalu ajak Mira pergi kelas. Usrah ni tentang pesanan menjadi isteri syurga. Betul-betul Betty suruh saya menuntut ilmu sebelum jadi isteri,” tulisnya di Instagram.

Dia juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada ustazah serta sahabat-sahabat usrah yang banyak berkongsi nasihat berguna menjelang fasa baharu dalam kehidupannya. “Terima kasih ustazah di atas perkongsian ilmu. Terima kasih kawan-kawan syurga saya. Semoga kita berkawan sampai syurga,” ujarnya penuh doa.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran rakan selebriti terkenal termasuk Hawa Rizwana, Amyra Rosli, Wany Hasrita, Nabila Razali, Nora Danish dan Bella Astillah yang bersama-sama meraikan Amira dalam suasana penuh ukhuwah.

Beberapa hari sebelum itu, industri hiburan dikejutkan dengan momen romantis apabila pelakon popular Fattah Amin membuat kejutan lamaran kepada Amira ketika mereka berduet menyanyikan lagu terbaharu berjudul Rasa & Takdir di sebuah hotel. Sekali gus, teka-teki hubungan istimewa mereka yang menjadi buah mulut ramai sejak awal tahun lalu akhirnya terjawab.

Spekulasi mengenai tarikh 14 September yang kebetulan jatuh pada hari lahir Fattah sebagai hari pernikahan mereka yang sebelum ini dinafikan, akhirnya disahkan sendiri ketika pengumuman tersebut dibuat. Pendedahan itu mengukuhkan lagi bahawa pasangan ini bakal melangkah ke fasa rumah tangga selepas sekian lama hanya mendakwa sekadar rakan sekerja.

Sebelum ini, Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan aktres Fazura pada 27 November 2017, namun hubungan itu berakhir selepas tujuh tahun bersama. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun.

Dengan restu keluarga, doa sahabat dan sokongan peminat, perjalanan baharu Amira dan Fattah kini menjadi tumpuan, sekaligus menandakan bermulanya kisah cinta yang lebih terbuka selepas sekian lama berteka-teki.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |