Peminat Bollywood pasti ingat kejadian ini. Pada tahun 1982, berita mengenai Amitabh Bachchan telah cedera parah semasa set penggambaran filem ‘Coolie’ telah mengejutkan orang ramai, termasuklah isterinya, Jaya Bachchan.
Stunt yang dilakukan antara Amitabh dan aktor Puneet Issar telah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila suami Jaya itu dikejarkan ke hospital. Bukan itu sahaja, Amitabh ketika itu turut diisytiharkan ‘mati secara klinikal’ selama beberapa minit.

Mengimbas kembali memori pahit itu, Puneet dalam sebuah temu bual, mendedahkan keadaannya selepas mengetahui Amitabh cedera akibat tumbukannya.

Dalam temu bualnya dengan Digital Commentary, Puneet berkongsi bagaimana insiden itu telah mengubah dunianya dan membentuk semula kerjayanya.
“Orang ramai agak takut dengan saya selepas kejadian itu. Mereka kata saya pemegang tali pinggang hitam darjah 8. Banyak teori dan andaian. Mereka berkata, “Bagaimana jika dia menggunakan semua tenaganya?”. Kesan daripada itu, saya telah menganggur hampir enam tahun.”

“Satu saat telah mengubah hidup saya- dari seorang lelaki berusia 21 tahun yang memegang watak penjahat menentang Amitabh, mempunyai 10 filem dalam tangannya- kepada seorang yang kehilangan semuanya dalam sekelip mata.”
Walaupun menghadapi masa yang sukar, Puneet tidak berputus asa. Malah kini dia telah dikenali ramai selepas memegang watak ikonik Duryodhana dalam drama ‘Mahabharat’ arahan B. R. Chopra.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.