Bersempena ulang tahun kelahiran anaknya yang ketujuh, pelawak Achey meluahkan rasa penuh syukur dan emosi terhadap kehadiran puteri kesayangannya, Tiara, yang disifatkan sebagai anugerah paling besar dalam hidupnya.
Dalam satu hantaran menyentuh hati di Instagram, Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, 39, berkongsi perasaan mendalam tentang peranannya sebagai seorang bapa, yang sering membuatkan dirinya tertanya-tanya sama ada dia benar-benar layak memikul tanggungjawab itu.
Pelawak popular ini secara jujur mengakui bahawa ada segelintir pihak yang melihat seolah-olah dirinya ‘menumpang’ aura anak angkatnya itu. Namun, Achey tidak menafikan pandangan tersebut, malah menerima kenyataan itu dengan hati terbuka.
Katanya, jika dia menafikan, ia mungkin mengundang ketidakselesaan orang lain. Dalam luahannya, Achey turut berkongsi bagaimana air matanya sering tumpah apabila memikirkan kehebatan seorang anak kecil yang begitu disayangi ramai.
Achey turut menitipkan doa agar Tiara sentiasa menjadi insan yang baik dan mampu menghadapi apa sahaja dugaan dalam hidup. Sebagai ibu bapa, dia dan isteri mengakui mungkin ada kekurangan dalam mendidik dan membentuk keperibadian anak itu, namun mereka berharap Tiara akan membesar menjadi insan yang mampu memperindahkan peribadinya sendiri suatu hari nanti.
Tiara merupakan anak angkat Achey dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya, yang diambil sebagai anak sejak bayi pada tahun 2018. Sejak itu, kehidupan pasangan ini dilihat semakin ceria dan bermakna dengan kehadiran cahaya mata yang sering menjadi tumpuan ramai di media sosial.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.